Kahwin Awal..hmm??

Bismillahirrahmanirrahim...(ikhlaskan niat)
Salam'alayk...
    Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam, dengan limpah dan rahmat serta izinNya bumi beredar, mentari bersinar, bintang begermelapan, bulan bercahaya, dan manusia meneruskan kehidupan. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW, dengan nurnya alam diterangi, manusia disuluh kebenaran.. 
Alhamdulillah.. Alhamdulillah..Alhamdulillah..

       Kala ini jam sudah menunjukkan 2.55 minit pagi...
Hati rasa teringin menconteng sesuatu disini.... walaupun bukan original tulisan dr sy sendiri, tapi ingin juga berkongsi sesuatu dgn shbt2 sekalian..
    Tertarik hati sy tatkala membaca tulisan saudara Hilal Asyraf di blog beliau tentang tajuk entri diatas
Tulisan ini sy ambil dr blog beliau ms.langitilahi.com..
      Apa yg menarik sgt tu ya..?? 
 
Kahwin awal. Ramai akan memberikan pro dan kontranya. Benda ini biasanya diutarakan oleh remaja, pelajar. ‘Awal’ yang dimaksudkan dalam ayat ‘kahwin awal’ itu biasanya dilihat pada umur 23 ke bawah. Sebab bila dah umur 24, orang tak ramai bising menyatakan itu awal. Walaupun ada juga sebahagian orang yang saya jumpa, dia kata bahawa kahwin umur 25 itu awal juga. Katanya umur 30 baru ok. Entahlah.
Cuma biarlah saya fokuskan ‘kahwin awal’ ini kepada yang berumur 23 ke bawah ya. Sebab ada benda dalam artikel ini yang saya suka nak khaskan buat mereka yang berumur baya-baya saya ini.
Pertamanya, saya bukan nak kata ‘kahwin awal itu betul’ atau ‘kahwin awal itu salah’. Pada saya, kahwin awal boleh jadi betul, dan boleh jadi salah. Pokok pangkalnya, dalam hal kahwin awal, saya suka untuk membawa diri saya dan diri kita semua untuk melihat semula kepada dua perkara utama dalam isu kahwin awal.
1. Membina rumah tangga.
2. Orang yang hendak membina rumah tangga.
Kenapa saya tak sebut ‘kahwin’. Sebab ‘kahwin’ memang senang. Sehari je kahwin. Majlis kahwin. Akad nikah. Dan lain-lain. Sehari sahaja. Tetapi siapa nak berumah tangga sehari sahaja? Kalau ada tak mengapa. Tak payah baca yang ini.

Tujuan berumah tangga

Maka saya membawa pada asas terlebih dahulu. Apa tujuan berumah tangga?
Rata-rata remaja akan mengutarakan jawapan seperti berikut:
1. Cinta.
2. Tak nak berdosa. Nak tunduk pandangan. Jauhi zina.
3. Nak lorongkan nafsu ke jalan yang benar.
Biasanya untuk pemuda yang belajar sikit, dia akan mengutarakan hadith ini sebagai dalilnya.
Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).
Maka di sini, ramai yang melihat kahwin awal adalah solusi kepada cintanya yang berbuah semasa remaja, semasa belajar. Kahwin awal adalah solusinya untuk menjauhkan dosa dari berhubungan cara yang tidak dibenarkan Islam. Kahwin awal adalah solusi untuk dia menjaga diri dari dari nafsu yang tidak terkawal dan sebagainya.
Tetapi, benarkah tujuan berumah tangga hanya itu?

Rumah tangga bukan sekadar itu.

Rumah tangga hakikatnya adalah madrasah pertama kepada manusia. Sedar atau tidak, ia adalah hakikat yang tidak boleh ditolak. Majoriti masyarakat dunia lahir dari institusi rumah tangga. Mungkin sebahagian kecil lahir di tengah hutan, di lorong gelap, dan membesar tanpa keluarga, itu adalah kes yang boleh dikira terpencil berbanding majoriti seluruh dunia.
Apabila kita memandang bahawa rumah tangga adalah madrasah membina individu-individu dalam masyarakat, dan tanpa kita sedari rumah tangga merupakan asas terpenting kepada sebuah masyarakat, negara, dan ummah.
Memang wujud institusi lain dalam kehidupan kita seperti nurseri, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Itu kalau tidak kita campur dengan institusi ‘underground’ baik yang baik, mahupun yang buruk.
Tetapi kita dapat lihat betapa ‘asas peribadi’ yang datang ke institusi-institusi tadi hakikatnya sudah terbina sebelum mereka masuk ke institusi-institusi tadi. Di manakah ianya terbina?
Di rumah. Di dalam rumah tangga. Di tangan mak ayah, atau sesiapa sahaja yang menjadi ‘guru pertama’nya di tempat dia membesar.
Maka sekali lagi kita lihat bahawa, asasnya adalah rumah tangga.
Maka, dapatkah kita dapat membayangkan bagaimana nanti sekiranya rumah tangga yang terbina adalah rumah tangga yang rosak, apakah efeknya kepada pembinaan masyarakat dan ummah?
Ya. Akhirnya kita melihat bahawa, rumah tangga yang kita bina bukan semata-mata kita.
Kita hakikatnya sedang membina ummah.

Rumah tangga bukan sekadar sehari dua.
Baik. Memahami perkara tadi, maka kita perlu melihat bahawa rumah tangga adalah satu perjalanan yang panjang. Bukan sehari dua, kemudian kita robohkan. Pada rumah tangga itu ada tanggungjawab. Tujuannya bukan semata-mata kepuasan hawa nafsu, hendak menjauh daripada dosa dan cintan-cintun semata-mata. Ia meliputi hendak membuat lebih banyak kebaikan(dengan membina rumah tangga yang bermanfaat untuk Islam, mampu memberi sumbangan kepada Islam) dan membawa definisi cinta yang sebenar, yakni hendak bersama hingga ke syurga.
Dan akhirnya kita dapat lihat di sini bahawa rumah tangga bukanlah keseronokan dua individu bernama suami dan isteri semata-mata. Bukanlah di dalamnya wujud semata-mata keindahan. Tetapi wujud juga halangan dan cabaran.
Maka di sini kita melihat bahawa, ada tanggungjawab lain menanti kita di dalam rumah tangga. Tanggungjawab yang memerlukan kita serius dan matang dalam membuat keputusan. Tanggungjawab yang memerlukan kita bijak dalam mengawal emosi dan perasaan. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai peribadi yang baik dan mampu mendidik. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai teknik pengurusan yang baik dan mampu merancang dengan baik.
Semua ini kita perlukan untuk menjalankan rumah tangga yang baik dan diredhai oleh Allah SWT.
Dapatkah kita melihat besarnya rumah tangga?
Entahlah. Kalau saya, saya pandang rumah tangga itu macam inilah.

Maka datanglah hal kahwin awal.

Apabila membicarakan hal kahwin awal, maka guru saya, Cikgu Azmi Bahari ada menyatakan berkenaan: “Yang layak berkahwin”.
Ya. Sebenarnya pada saya, kahwin awal itu bukanlah masalah sekiranya yang nak kahwin awal itu sudah layak berkahwin. Maka timbul persoalan, siapakah yang layak berkahwin.
Cikgu Azmi Bahari cakap pada saya:
“Sekiranya enta dah mampu nak sara keluarga, itu dikira layak berkahwinlah.”
Sebahagian orang akan melihat bahawa ini satu cubaan membangkitkan kepentingan wang dalam berumah tangga. Maka ada orang akan kata pada saya bahawa, jangan takut fasal duit, itu semua nanti adalah tu.
Baik, saya bukan takut fasal duit. Dan saya tak rasa Cikgu Azmi Bahari berkata ke arah itu juga. Pada saya, maksud sara keluarga ini adalah orang itu mampu menyara dirinya sendiri terlebih dahulu. Mampu menyara diri ini, tidaklah semestinya duit banyak. Maksudnya, dia mampu berdikari, menguruskan dirinya, mampu mencari sumber wang dan mampu berusaha. Bukan hidup bergantung kepada orang lain, bukannya orang yang tidak mahu mempertingkatkan diri apabila menyedari kekurangan, bukannya mendapat wang dari sumber yang dia tidak usahakan dan sebagainya.
Hal ini apabila kita pulang kepada apa yang saya nyatakan pada sub topik-sub topik sebelumnya, maka ia adalah amat relevan.
Kita perlu menampung satu tanggungjawab yang berat dan besar. Bukan sekadar hendak memberi makan, bahkan memimpin orang ke syurga. Bukan sekadar untuk keseronokan diri, tetapi untuk kebaikan ummah. Maka adakah sebenarnya kita layak melakukan sesuatu perkara yang sangat besar ini, dalam keadaan kita sendiri tidak pandai menguruskan diri dan berdikari?
Jadi, apabila kita sudah mampu menguruskan diri sendiri dan pandai berdikari, tidak kiralah umur berapa pun, maka kahwinlah sekiranya mahu. Bina rumah tangga. Sebab itu dahulu, orang tidak hairan dengan datuk nenek kita yang berkahwin umurnya 17 tahun, 16 tahun, 15 tahun dan sebagainya. Bukan sebab pada umur itu mereka sudah mempunyai harta yang banyak. Tetapi sebab mereka sudah layak berkahwin. Mereka pandai mengurus diri dan berdikari dengan baik.
Boleh bandingkan datuk nenek kita masa umur mereka 17 tahun, dengan pelajar SPM 17 tahun hari ini.
Pada saya, kalau sekadar ‘mampu’ untuk menampung kos perkahwinan yang hanya makan masa sehari itu, semua orang boleh. Yang mampu RM40,000, kahwin dengan RM40,000. Ada juga yang buat majlis sekitar RM2,000 sahaja. Kahwin memang senang.
Tetapi berumah tangga? Itu satu perkara yang lain.

 
Tak mengapa, mak ayah tampung.

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” Surah An-Nuur ayat 32.
Maka ada remaja yang hendak kahwin awal, merasa mudah dengan bergantung terus kepada ibu bapa mereka berdasarkan dalil di atas.
“Tak apa, ayah ana ada.”
“Tak apa, mak ana boleh tampung.”
“Kos majlis kahwin, hantaran, semua ummi ana bayar.”
“Ayah ana kata dia nak hadiahkan rumah dan kereta. Ana tak payah risau dah.”
Hakikatnya. Pada asas, ibu bapa tidak perlu menampung anak lelaki mereka. Sepatutnya, seorang lelaki yang mempunyai hajat untuk berkahwin, perlulah berusaha untuk memenuhi keperluannya agar mampu berkahwin dan menggerakkan rumah tangga.
Tetapi bukanlah salah apabila kita hendak menjaga kehormatan Islam dengan mengelak tragedi seperti berzina, rogol dan sebagainya dengan ibu bapa menampung atau membiayai perkahwinan si anak dan mempermudahkan perjalanan rumah tangganya.
Cuma kenapa saya bangkitkan hal ini di sini?
Kerana saya hendak kita kembali melihat kepada tujuan rumah tangga dan peranannya kepada ummah seperti di atas. Pada saya, orang yang hendak berkahwin awal, kemudian meletakkan pergantungan rumah tangganya kepada kedua ibu bapanya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Rumah minta mak ayah belikan. Kereta nak mak ayah tampung. Sedangkan majlis kahwin dan segala urusannya juga mak ayah yang berikan dana. Tiada dari duit sendiri yang dikumpul dengan penat lelah. Tiada dari usaha keras sendiri berusaha mencari dana. Maka di sini ada satu kepincangan dalam isu memandang berat terhadap tanggungjawab.
Bahkan, kita dapat melihat bahawa isu menampung keperluan hidup berumah tangga adalah tanggungjawab ketua keluarga yakni Si Suami. Bukan tanggungjawab ibu bapa Si Suami.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang makan dari hasil usaha kamu sendiri” Hadith riwayat Ahmad.
Dan firman Allah SWT: “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” Surah Al-Baqarah ayat 233.
Jadi apakah seorang ketua keluarga, yang dalam perhitungan dan perancangannya: “Tak apa, mak ayah ana ada. Diorang boleh sara ana dengan isteri.”
Persoalannya, apakah kahwin dan rumah tangga itu semata-mata hal penyaraan?

Konsikuensi tidak matang terhadap rumah tangga

Apabila tujuan berumah tangga tidak jelas, atau yang mendirikan rumah tangga tidak matang, tidak mampu, maka kesan terhadap rumah tangga adalah buruk.
Perceraian, kepincangan, anak-anak yang tidak terurus, kehidupan yang tidak bahagia dan lebih buruk lagi kepincangan ummah dan kemerosotan kualiti masyarakat. Oh, jangan ceritalah pada saya berkenaan mencari keredhaan Allah SWT dan membawa keluarga bersama ke syurga apabila rumah tangga sudah tidak terurus.
Remaja cenderung melihat kahwin awal adalah satu-satunya penyelesaian dalam hal cinta, menjauhi dosa, takut zina dan sebagainya, sekaligus mematikan opsi-opsi yang lain yang hakikatnya wujud. Sepatutnya kita berpandangan jauh dan melihat dengan teliti.
Apakah kebaikan sebentar kemudian membawa keburukan yang bertali arus itu solusi yang hakiki?

Maka habisilah dan telitilah sabda Rasulullah SAW itu.

Maka saya suka hendak menunjukkan kepada anda akan baki daripada hadith Rasulullah SAW yang saya utarakan di awal artikel ini tadi.
Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).
Sempurnya hadith itu adalah begini:
Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri, dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu baginya adalah benteng.(Muttafaq ‘Alaih).
Kahwin awal hanyalah untuk orang yang layak berkahwin awal. Yang mampu. Justeru, apabila kita menyedari bahawa kita bukanlah dari golongan yang ‘mampu’, maka hendaklah kita berpuasa dan memohon perlindungan daripada Allah, menjauhkan diri dari punca-punca yang boleh mendorong kita ke arah keingkaran kepadaNya, dan pada masa yang sama bermati-matian berusaha mempertingkatkan diri kita untuk menjadi orang yang layak berkahwin, orang yang mampu berkahwin.
Diperhatikan semula, hadith ini selain dinyatakan perihal kahwin sebagai solusi, ia juga mengutarakan ‘bertahan dan mempertingkatkan diri’ sebagai solusi. Apakah natijah puasa? Taqwa. Dan taqwa itu natijahnya adalah peningkatan terhadap peribadi. Mengapa Rasulullah tidak tinggalkan solusinya sekadar ‘kahwin’ semata-mata?
Kerana ‘mampu’ adalah satu indikator yang amat penting dalam berumah tangga.
Rumah tangga bukan perkara sehari dua.
Rumah tangga bukan hal kamu berdua(lelaki dan perempuan).
Rumah tangga hal ummah pada hakikatnya.
Kita kahwin bukan semata-mata nak halalkan chit-chat kita dalam YM.
Kita bukan berkahwin semata-mata untuk halalkan pegang tangan peluk-peluk.
Kita bukan berkahwin semata-mata nak halalkan telefon kita bergayut-gayut selama ini.
Kita bukan berkahwin semata-mata kerana nak halalkan dating kita selama ini.
Bukan semata-mata itu semua dan bukan.
Rumah tangga lebih besar dari hal kita berdua. Ia lebih panjang dari apa yang kita sangkakan. Bukan terbina atas suka-suka semata-mata. Tetapi perlu dibina dengan perancangan hakikatnya.

Penutup: Saya bukan kata tak boleh kahwin awal.

Artikel ini bukan melarang kahwin awal. Kalau rasanya sudah mampu, kahwinlah. Artikel ini juga bukan melarang ibu bapa untuk tampung anak-anaknya kahwin awal. Kalau rasa anak-anak itu sudah mampu menguruskan sebuah rumah tangga, maka tampunglah. Artikel ini juga bukanlah nak memberat-beratkan orang bujang yang nak menikah. Saya tak rasa pun ini memberat-beratkan. Kalau rasa sudah layak, tiada masalah, kahwinlah. Umur 15 pun saya tak larang kalau dah layak.
Artikel ini wujud supaya generasi hari ini tidak memandang enteng akan perkahwinan dan rumah tangga yang hendak dibina. Pada saya, kahwin adalah ibadah. Kehidupan berumah tangga adalah ibadah. Semuanya ada saham dalam pembentukan ummah. Justeru kita perlu pandang serius akan hal membina rumah tangga. Kalau benar cinta, cinta mesti hendak bersama ke syurga.
Kahwin bukan semata-mata melempiaskan hawa nafsu, bermain-main, syok-syok, suka-suka.
Kahwin adalah untuk membina rumah tangga, madrasah pertama kepada ummah.
Mengapa tidak boleh kita pandang lebih serius akan hal ini?
Kata-kata guru saya amat saya ingati:
“Perkahwinan hanyalah gerbang. Rumah tangga adalah perjalanan selepas kita melepasi gerbang itu.” ~ Pakcik Rosdi bin Baharom, kini Pengarah HEP di Kolej Teknologi Darulnaim, Kelantan.
Ini sekadar cambahan idea saya.Untuk ditimbang-timbangkan.
Semoga bermakna.

Maka begitulah shbt2.. Renung-renungkan & selamat beramal..:-)


Salam Indah penuh Mahabbah,
     Firashatul Jannah
 

No comments:

 
This Blog Are Protected By Me . DO NOT OPEN MY PAGESOURCE . Full Designed by -Nur Irdina Zakaria-
...