Dia Cintaku


Lagi dua jam. KLIA sesak dengan ragam manusia. Ada yang berpelukan, ada yang bersalaman, berbual, dan ada yang mengambil foto. Ibu siap mendaftrakan namanya pada pegawai yang berkenaan. Mujur mereka sempat tiba sebelum jam yang ditetapkan. Pegawai itu agak sibuk dengan berbagai-bagai urusan.

“Jaga solat, tahu. Ibu nak Adib balik nanti boleh jadi imam kita. Bukan untuk sembahyang semata, tapi juga untuk semua persoalan. Biar jadi tempat rujukan. Ingat Adib, bukan semua Allah beri peluang begini,” nasihat ibu panjang lebar. Dia tak mahu anaknya dipolusi apapun.
“Baik, ibu. Adib tahu, tu. Ibu ada tinggalkan rendang tak dalam beg Adib tadi? Yalah, satu Syawal dah kena berangkat. Entah bila lagi dapat rasa masakan ibu, kan?” bibirnya tersenyum. Suasana terasa sayu sebentar. Keluarga kesayangan bakal dia tinggalkan.
Ibu mengangguk sambil tersenyum. Abah yang diam di  belakang hanya mampu geleng kepala sambil tersenyum.

Pengumuman panggilan penumpang ke platform masing-masing bergema. Abah menyorong salah satu beg Adib. Ibu berjalan di sampingnya. Satu Syawal tahun ini agak berbeza. Dia bakal pergi meninggalkan keluarganya buat sementara. Dia tahu, di pundaknya terpikul harapan umat. Maka dia pasrah sahaja.
“Adib, sampai nanti jangan lupa telefon kami ya. Sms ke, telefon ke, emel ke. Biar ibu kamu ni tak risau sangat,” pesan abah. Adib hanya mengangguk lemah. Sekejap saja lagi, dia akan meninggalkan bumi tercinta ini.
Satu sms masuk. Telefon bimbitnya berbunyi riang. Adib membuka sms tersebut. Dari Mahabbah. “Ana tunggu enta di sini. Sentiasa tunggu. Mak ayah pun dah kenal enta. Mereka tak kisah asal ana bahagia.” Adib mengeluh. Telefon N95 disimpan kemas di dalam kocek seluar semula.

Pegawai Jais yang terbabit memanggil semua pelajar berkumpul segera. Penerbangan menaiki Kuwait Airlines akan berlepas sekitar sejam lagi. Adib bersalaman dengan semua yang ada. Ibu, abah, Tok, Miasara dan Bukhari. “Abang akan rindu sangat pada adik abang yang comel ni. Jangan nakal-nakal ya,” suara Adib yang sedikit sayu itu memecahkan tangis Miasara. Anak kecil sebesar 5 tahun itu terlalu manja dengan abangnya. Tidak pernah berpisah.
Selesai segala urusan, Adib berangkat bersama pelajar-pelajar yang lain. Ruangan eskalator yang kosong itu membuatkan hati siapa saja terasa sayu. Hati terisi sendu. Bibir mengeluh kaku. Perpisahan itu sementara. Dan siapa yang berpisah kerana Allah, akan Dia hadiahkan pertemuan yang indah buat mereka. Siapa tahu.
Tidak dapat dibendung lagi. Setitis air mata lelaki akhirnya mengalir terus ke pipi. Tiada perjuangan yang mudah. Kata-kata Tok Wan dia genggam sebagai azimat. Amir di sebelahnya faham benar apa yang Adib rasa. Maka dia hanya diam seribu bahasa.
Di ruang menunggu, satu lagi sms masuk. Tidak lain tidak bukan Mahabbah. “elok-elok ke tempat orang,” itu pesanannya. Dia mengeluh lagi. Sudah-sudahlah.
“Kenapa kau mengeluh ni, Adib? Siapa sms tu?” sampuk Amir. Tersengih bagai kerang busuk.  Adib menyimpan telefonnya.
“Kawan lama. Eh, ibu aku kirim salam kat kau. Dia suruh kau makan banyak sikit biar besar macam aku,” keduanya ketawa besar. Mata-mata lain memandang mereka. Aneh, boleh bersenang hati sedangkan satu Syawal ini mereka akan meninggalkan Malaysia.

***

Sunyi. Kebanyakan penumpang sedang tidur. Khali tanpa sebarang bunyi. Bahkan pramugari yang ulang-alik juga tiada meninggalkan bunyi. Bergerak bagai pelesit semuanya. Adib yang duduk di hadapan bingkas dan memerhati sekitar ruangan penumpang itu. Ramai yang tidur. Ada seorang dua yang sedang menonton siaran arab yang tidak dapat difahami. Ada yang berbual. Ada yang mengaji. Sendirian. Adib tersentuh. Kenapa tidak masa ini dia membaca al-Quran? Bukankah masa lapang itu bermanfaat untuk orang mukmin?
Dia duduk kembali. Pramugari yang sedang lalu dipintasnya. “Sorry, could you bring me a glass of water, please?” ujar Adib. Pramugari itu senyum protokol dan berlalu selepas mengatakan, “wait a moment, sir,” pelat-pelat arab sahaja bunyinya.
Adib membuka beg sandangnya. Mushaf biru  tua pemberian ibunya itu ditatapnya. Kecil sedikit dari tapak tangan. Adib berbisik perlahan. Sebelum tangannya sempat menyelak, bismilah tadi terus diiringi surah Al-Fatihah. Kemudian, surah Az-Zariyat lancar menyusur dari bibirnya. Seakan tergambar di minda halaman-halaman surah itu. Sedang tanpa lengah, tangannya kemas menyelak satu-persatu mencari surah Az-Zariyat.
Bacaannya terganggu saat pramugari tadi mampir. Segelas air mineral dibawa bersama, sesuai dengan permintaan Adib. Dia membuka meja di hadapannya dan meletakkan mushaf itu di situ sebentar. Dia meneguk air mineral itu perlahan seusai membaca bismillah.

Dia menyelak mushaf semula. Kebetulan, dia terbuka satu halaman bertanda. Ada sekeping kad kecil di situ. Dia kenal benar pemberi kad itu. Seorang yang dia cintai sejak zaman sekolah menengah lagi. Bertudung litup berwajah ayu, siapa saja yang takkan terpikat dengannya. Susah hati lelakinya mahu melupakan rupawan yang jelita itu. Tahi lalat kecil di bawah bibir yang mungil, kelihatan bagai ada tak ada sahaja. Lesung pipit nipis yang bisa mencairkan iman mana-mana lelaki yang melihat, Adib lantas beristighfar. Indahnya ciptaan tuhan, indah lagi Sang penciptanya. Dia menutup mushaf kembali. Nampaknya, kehadiran kad itu di mushaf membuatkan dirinya gusar. Dia kembali bersandar pada kerusi pesawat berwarna hijau baldu itu, membiarkan dirinya tidur semula dalam alunan bacaan qari Nuwaina yang menggema di telinganya. Mujur dia membawa  pemain mp3. Amir di sebelah sudah lama lena dalam dunia mimpi.

***

Pemandangan di sawah sungguh menenangkan. Burung-burung yang terbang bebas, bagai bermain-main dengan tunjaian pokok padi di bendang yang terbentang. Indah. Hijau luas sejauh mata memandang. Adib duduk santai bersandarkan pokok kelapa rendang. Tok Wan pula sibuk mengangkat pukat yang ditahan pagi tadi. Siang kian tua. Hari bakal berganti dengan malam. Garis cahaya di ufuk barat sedikit menyilaukan mata. Tetapi amat indah untuk dihargai. Untuk ditatapi. Rambut nipis Adib disapa angin sawah yang mesra. Sedikit suam. Tok Wan yang berkopiah ke sawah senyum suka. Pukatnya mengena. Dia melangkah tenang ke arah Adib sambil menyuakan pukat yang berisi ikan sepat dan haruan itu. Adib menyambut dengan girang.  Tok Wan duduk di sampingnya. Dia menghembuskan nafas lega. Hari-hari tuanya memang agak meletihkan.
“Adib nak jadi apa bila besar nanti?” lembut sahaja pertuturan Tok Wan. Seluar Tok Wan ditarik sedikit dan dia menarik lutut ke paras dada. Tangan pula memeluk kedua lutut sendiri longgar. Adib yang bersandar pada pokok kelapa memandangnya dengan senyum.
“Entahlah Tok Wan. Adib ingat nak jadi doktorlah, Tok Wan,” nada suaranya tidak yakin betul. Bagai dia pun keliru dengan pilihan hidupnya nanti.
Tok Wan lepaskan nafas perlahan. Air liur ditelan sebelum memulakan bicara. “Nak tahu tak, dulu Tok Wan belajar di luar negara. Ayah Tok Wanlah yang nak sangat Tok Wan ke sana. Katanya, belajar di tempat orang, lebih baik. Kita belajar budaya orang. Belajar mengenal orang. Belajar mengenal dunia. Biar mata kita terbuka luas. Dan biar kita tahu, setara mana diri kita jika nak dibandingkan dengan tuhan yang Maha Kuasa itu,” Tok Wan berkata panjang lebar.
Adib pandang muka Tok Wan dengan teruja. “Tok Wan belajar di mana? Australia? Amerika Syarikat? London? Mekah?” soalan bertubi-tubi Adib menyebabkan Tok Wan ketawa berdekah-dekah. Apalah anak kecil berumur 6 tahun ini tahu apa itu luar negara. Semua yang ada di minda hanyalah New York, Amerika Syarikat, dan lain-lain Negara barat. Kalau Negara Islam pula, mungkin Mekah dan Madinah sahajalah yang dia tahu.

Tangan kiri Tok Wan mencapai ubun Adib lalu diusapnya perlahan. Cucu sulungnya itu amat manja dengannya. Cucu yang baik, tapi sayang, pemikiran anak muda dewasa ini sudah diracun dengan kemegahan barat. Kalaulah mereka tahu keagungan empayar Islam suatu tika dahulu. Kalaulah mereka mendalami sirah Al-Fateh. Kalaulah mereka meladeni kisah Al-Ayubi.
“Tak, cu. Tok Wan pergi negara lain. Negara tu banyak pasir, sebab ada di tengah padang pasir. Negara tu kadang panas, kadang sejuk. Kalau panas, lagi panas dari bersawah, kalau sejuk, mulut berasap macam makan sup ayam tok masa panas!” ketawa pecah di tengah suasana damai itu.
Tok Wan sambung lagi, “di sana ada ramai ulamak yang hebat-hebat. Semua janggut panjang-panjang macam Tok Wan. Tapi, mereka lagi pandai dari Tok Wan. Kalau baca Quran, semua orang menangis. Kalau cakap arab, lagi pandai dari Tok Wan. Masiid pun banyak,” terang Tok Wan.
Mata Adib galak memandang Tok Wan. Seakan begitu teruja sekali anak kecil itu. “Di sana semua orang pandai baca Quran ke? Macam Tok Wan?” Adib dia bertanya lagi.
Tok Wan angguk sambil tersengih melihat rasa ingin tahu yang membuak dalam Adib. “kalau Adib nak jadik doktor, Adib kena belajar rajin-rajin. Biar dapat belajar di luar Negara. Biar Adib banyak pengalaman, macam Tok Wan,” Adib sengih sahaja mendengar kata-kata Tok Wan.
“Tok Wan, Adib tak jadilah nak jadi doktor. Adib pun nak pandai mengaji macam Tok Wan jugak. Dulu Tok Wan belajar di padang pasir, kan? Nanti bila Adib dah besar, Adib pun nak pergi jugak,” ujar Adib, semangat.
Tok Wan ketawa besar. “Bukan padang pasirlah. Di Mesir. Mesir tu dekat padang pasir. Panas. Betul ke Adib nak pergi sana? Nanti menangis nak abah dengan ibu,” sakan Tok Wan menyakat.
“Apa susah, nanti Adib ajaklah abah dengan ibu sekali,” ujar Adib, selamba. Mereka ketawa bersama-sama. Azan maghrib pun berkumandang.

***

Amir mengangguk perlahan. Biarpun kisah ini telah sering didengarinya, dia tidak pernah bosan. Kebetulan dia terjaga dua jam sebelum pesawat tiba di Kuwait untuk transit penumpang, maka dia menemani Adib yang terjaga lebih awal darinya berbual.
Amir menggeliat. Perjalanan selama lapan jam itu melelahkan dia. Masakan tidak, inilah kali pertama dia menaiki kapal terbang. Kalau tidak mendapat tajaan Zakat Selangor, pasti dia tidak merasa semua ini. Siapa sangka dia dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir seusai menyudahkan STAM di sekolah dahulu? Benarlah, tuhan yang mengaturkan baik buruk hambaNya.
Mereka tiba di Kuwait jam 6 pagi. Setibanya di sana, mereka bergegas mencari surau. “Lau samaht, aina musolla?” soal Adib kepada seorang petugas di situ. Sedikit kekok berbahasa arab.
Petugas itu menuding jarinya ke satu arah. “Syukran,” Adib mengucapkan terima kasih dan berlalu. Pelajar-pelajar yang lain masih berserakan di ruang menunggu tanpa hala tuju.
Setelah solat Subuh ditunaikan, mereka bergerak mencari restoran. “Jom kita ke kafe tu, ada wifi. Boleh online kejap,” ajak Amir. Adib setuju. Mereka bergegas mencari tempat duduk yang kosong. Laptop masing-masing dibuka. Seperti biasa, laman Facebooklah yang akan dibuka. Adib pula menghantar pesanan ringkas kepada ibunya bahawa dia selamat tiba di Kuwait. Lagi 6 jam, pesawat ke Mesir akan berangkat pula.
Adib lantas menulis status baru di laman Facebook. “Alhamdulillah. Currently at Kuwait. Do pray for us selamat dunia akhirat.”
Bunyi ‘buzz’ di ‘Yahoo Messenger’ mengganggu. Teguran dari Mahabbah.

Mahabbah_Sulaiman: Assalamualaikum. Ok tak flight tadi?

Adib_hensem: waalaikumussalam. Alhamdulillah ok je.

Mahabbah_Sulaiman: Oh.. Ana doakan anta selamat, ya? Sekarang pukul berapa di sana?

Adib_hensem: sekarang pukul 7 pagi.

Mahabbah_Sulaiman: Oh..
Adib, kenapa macam hambar je.
Adib ok tak?

Adib serba salah. Mahu jujur tapi nanti takut ada yang terluka. Bukan niatnya mahu melukakan hati sesiapa. Lagi-lagi insan sebaik Mahabbah.

Mahabbah_Sulaiman: Buzz!!!
Adib?

Adib_hensem: ye ana kat sini.

Mahabbah_Sulaiman: anta ok tak ni?

Adib mengeluh lagi. Amir yang duduk di sebelah faham apa yang Adib runsingkan. “Yalla, Adib. Berterus-terang lebih baik dari terus berdiam. Kulil haq walau kana murran. Berkata yang benar biarpun pahit,” Amir menyampuk tiba-tiba.
Adib mengeluh berat. Adib tak mahu hati Mahabbah terluka. Benar, dia memang sayangkan Mahabbah. Tapi, buat masa ini, ada yang lebih penting dari mengejar cinta duniawi.

Adib_hensem: Mahabbah?
Ana nak tanya sikit, boleh?

Mahabbah_Sulaiman: tanyalah..=)

Adib_hensem: boleh tak kita hentikan semua ni? Maaf, jujur, cinta ana bukan lagi pada anti.

Mahabbah_Sulaiman: ana tahu. Cinta anta pada ummat. Sama macam ana..=)

Adib_hensem: bagus anti faham. Tapi  cuba anti buktikan dengan perbuatan pula. Anti tak faham bahawa ana tak mahu lagi anti terus menerus begini dengan ana. Seakan bermain dengan angan-angan yang tak tahu bila akan jadi kenyataan. Bahkan, kita pun tak pasti bolehkah jadi kenyataan.

Mahabbah_Sulaiman: baik. Tapi ingat, ana akan tunggu anta sampai bila-bila. Ok? =)

Adib_hensem: tolonglah Mahabbah. Tolonglah jangan tunggu ana. Macam mana kalau kita tiada jodoh? Kalau ana mati ke, atau ana dijodohkan tuhan dengan orang lain?



Mahabbah_Sulaiman: tapi anta dah janji.

Adib_hensem: janji muda. Mahabbah, ini semua bukan prioriti. Kalau anti terus nak menunggu ana, dan ana menunggu anti, maka fikiran kita akan terganggu. Saling merindu. Sedang banyak lagi tanggungjwab sebagai pemuda yang sedang menunggu.

Mahabbah_Sulaiman: anta nak mungkir janji. Sampainya hati! Ana akan terus menanti anta sampai bila-bila. Ana takkan terima pinangan sesiapa pun kecuali anta.



Adib_hensem: be rasional, Mahabbah. Cinta ana sekarang hanya pada perjuangan. Ana tiada masa untuk memikirkan anti atau sesiapa pun. Harap anti mengerti. Mungkin kalau kita berjodoh, kita berjumpa. Kalau tidak, itu adalah aturan tuhan yang terbaik untuk kita.

Mahabbah_Sulaiman: Mesir dan sungai nil itu jodoh…

Adib_hensem: sudah-sudahlah Mahabbah…

Mahabbah_Sulaiman: ana akan tetap menanti Adib Zakaria. Kerana ana adalah Mesir.

Adib_hensem: cukuplah tu…

Mahabbah_Sulaiman: dan apalah Mesir tanpa Sungai Nil..

Adib_hensem: anti layak mendapat yang  lebih hebat daripada ana.

Mahabbah_Sulaiman: kenapa pelu anta mainkan perasaan ana begini? Ana tak sekuat itu untuk menahan tangis.

Adib_hensem: kita tiada ikatan yang sah. Jangan ikatkan diri kita dengan ikatan yang tidak sah. Tidak pasti. Kelak rasa cinta yang murni itu akan dibenci tuhan.

Mahabbah_Sulaiman:

Adib_hensem: sudah-sudahlah, Mahabbah. Letakkan perjuangan cinta pertama kita. Itulah cinta ana sekarang. Dan mungkin bila tiba masanya nanti, ana perlukan teman sejati untuk menemani hidup ana dalam berjuang. Kalaulah kita berjodoh suatu hari nanti, marilah sama-sama melayakkan diri kita. Kerana janji tuhan itu jelas, mahabbah. Orang mukmin itu untuk orang mukmin yang baik-baik. Sebelum sampai saat itu, cinta ana hanya pada perjuangan. Ilmu. Maaf kalau ana ada menyakiti hati enti. Jujur, memang hati ana suka pada anti. Tapi bukan itu yang ana utamakan sekarang. Andai kita tak berjodoh, maka itu yang terbaik untuk kita.

Tiada balasan. Diam. Khali.

Adib_hensem: mahabbah?

Mahabbah_Sulaiman: ana faham. Maafkan ana.

Adib_hensem: maaf kalau ana buat anti sakit hati ke ape, ye?

Mahabbah_Sulaiman: tak. Bukan salah anta. Salah ana. Ana terlalu leka mengejar yang ilusi.

Adib_hensem: ana doakan yang terbaik untuk kita. Biarpun sesiapa.

Mahabbah_Sulaiman: syukran. GTG. Salam.

Air mata Mahabbah tiada dapat dibendung lagi. Kacau gelora di jiwa tiada tertahan lagi. Maka perbualan yang memedihkan itu harus dihentikan.

Adib menghembus nafas lega. Meski berat, tapi dia berjaya mengungkapkannya. Dia tak mahu Mahabbah terus hanyut dalam angan-angan yang tidak jelas masa depannya, biarpun dia sungguh cintakan gadis itu. Biarlah. Cintanya kini hanya pada perjuangan. Kerana itulah pemuda yang sebenar, kata Tok Wan. Pemuda Islam yang sebenar tidak hanyut dengan cinta fana semata, kerana dia tahu bila masanya akan tiba untuk dia berteman, dalam menempuh badai perjuangan.

Nun jauh di Malaysia, air mata Mahabbah mengalir tiada berhenti. Seakan hanya air mata itulah yang menemaninya kini. Dia pasrah. Redha dengan pilihan Adib, kerana apa yang dikatakan Adib itu betul belaka. Dia yang terlalu leka dengan perasaan selama ini, hingga lupa ada cinta yang jauh lebih besar untuk dikecapi. Cinta ilahi. Dalam diam, dia berazam untuk menjadi wanita yang layak memiliki teman yang sempurna akhlaknya. Mungkin Adib, mungkin yang lebih baik dari dirinya. Air mata dikesat lalu dia bergegas mengambil wudhuk untuk solat taubat.

Di Kuwait pula, Adib tenang membaca Al-quran. Biarlah kisah cinta itu disimpan diam-diam dalam hati. Biarlah rasa cinta itu dipendam sampai tiba masanya nanti. Kerana cintanya hanya satu kini, mengejar cinta hakiki.
SMS dari ibu mematikan bacaan Adib. Ibu berdoa agar semuanya berjalan lancar. Adib senyum dan membalas dengan ucapan terima kasih. Bacaannya sebentar tadi disambung semula.

(kebetulan semalam saya menolong para pelajar baru yang telah terbang ke bumi anbiya’. teringat pula pada cerpen ini. mungkin dalam ramai2 mereka semalam, ada yang macam ini. tabahlah kalian. cintai perjuangan dahulu, barulah cinta yang lain menyusul, ya!)

By Abrar Shafie : fikrahislam.com 


 Firashatul Jannah 

nota tangan : Athirah doalah yg terbaik...I.Allah Tuhan tolong...=)


No comments:

 
This Blog Are Protected By Me . DO NOT OPEN MY PAGESOURCE . Full Designed by -Nur Irdina Zakaria-
...