Salamullahi'alayk..
Kala ini mata masih tidak mahu merehatkan dirinya...
(ah..selalu begitu)
Menjengah sebentar ke teratak ini..hmm..singgah shja tidak cukup tanpa meninggalkan apa-apa diserambi ini.. Bicara politik sebentar... Saat ini jam sudah menunjukkan pukul 2.05 pagi..
Beliau sangat aktif berdakwah melalui penulisan...
Kebetulan, sejak semalam saya sudah menjejak di Port Dickson – tempat yang menjadi gelanggang pertarungan terkini dua parti politik orang Melayu Islam kita. Bersama dengan beberapa orang sahabat, saya akan melaksanakan program Mukmin Profesional kepada tenaga-tenaga pemikir yang datang dari pelbagai insitusi pengajian tinggi awam dan juga pelbagai pertubuhan samada yang berlatr belakngkan politik ataupun perniagaan.
Melalui bandar Port Dickson masa ini, kita seperti “tetamu” yang disambut dengan pelbagai warna bendera – dan tentu sahaja warna biru, hijau dan merah mendominasi. Ya, inilah warna demokrasi yang tercipta (dalaman dan luarannya) ketika tiba musim memilih pemimpin. Apapun seperti yang saya selalu ungkapkan… satu persoalan menerjah ruang fikiran, sudah sekian lama orang Melayu Islam berpolitik… apakah kita sudah matang? Apakah kita sudah berpolitik dengan penuh KEBIJAKSANAAN dan KESABARAN?
Bila saya menjengah ke laman-laman web dan blog-blog tertentu, khusus yang membicarakan soal terkini di bandar yang sejuk dengan pemandangan pantai-pantai yang indah ini… sedih kerana wajah politik orang-orang Melayu masih hodoh. Situasi dan perkembangan terkini jika tidak ditangani dengan proses memberi ilmu dan didikan yang berterusan dan mantap akan menolak orang Melayu dalam jurang dendam yang berpanjangan. Yang menang akan terus menghenyak, yang kalah akan terus menyalak.
Percayalah, politik ini hanya alat, bukan matlamat. Kuasa itu hanya jalan, bukan tujuan. Sejak dulu saya berkeyakinan perlu ada “aliran ketiga” dalam arus politik Melayu. Mereka yang boleh mendamaikan, meredakan, menasihati dan mengingatkan, agar percakaran sesama Islam ini tidak melampaui batas-batas akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Berpolitiklah, perjuangkanlah keyakinan masing-masing… tetapi dalam kerangka “satu perlumbaan” untuk mendapat keredaan Allah dengan berbakti setulusnya kepada manusia.
Lalu seusai solat Subuh ini, di kala memandang pantai yang sejuk oleh puputan bayu… ketika “orang-orang politik” walau di sebelah manapun mereka berada, ketika mengangkat tangan berdoa kepada Allah, janganlah hanya memohon kemenangan, tetapi pohonlah juga kedamaian, hidayah dan rahmat untuk umat ini secara keseluruhan. Jika mereka tidak tahu, pohonlah doa agar umat ini cepat tahu. Jika mereka terkeliru, pohonlah agar umat ini mendapat petunjuk. Inilah ibrah ketika rasulullah SAW dilempar batu ketika di Taif. Apakah kita punya kesabaran seperti Rasulullah SAW yang ketika ditawarkan pertolongan para malaikat untuk menghancurkan penentangnya… lalu tetap berharap agar generasi kemudian akan beriman?
Sahabat-sahabatku yang sedang berjuang, samada dalam wasilah dakwah atau siasah… marilah kita terus berdoa dan berusaha untuk diangkat segala keresahan dalam dada umat ini. “Gempa hati” yang melanda ini perlu diredakan segera sebelum Allah mendidik kita dengan “Gempa Bumi” atau apa sahaja mehnah-Nya yang pastinya akan lebih memedihkan kita. Kata ulama-ulama rohani, Allah akan mengingatkan kita dengan “ujian-ujian” kecil untuk mengingatkan, tetapi jika kita terus alpa… Allah akan mengingatkan kita dengan ujian-ujian yang lebih besar dan azab. Kata pakar-pakar motivasi pula, “Tuhan mula melontar kita dengan batu-batu kecil… namun jika kita tidak berubah Tuhan mula melontar kita dengan batu-bata.”!
Ya, tentu ada hikmahnya saya tercampak ke sini. Medan berapi untuk cuba dicurah dengan sekendi air. Saya akan terus berdakwah dengan semangat burung kecil (dalam kisah Nabi Ibrahim – seperti yang pernah diceritakan oleh Ustaz Zambri “Mantap” dalam satu program Tv untuk anak-anak) yang menuangkan setitis air untuk memadamkan api besar yang dinyalakan Namrud untuk membakar Nabi Ibrahim.
Ketika perbuatan burung kecil itu ditertawakan oleh burung-burung besar yang lain (kerana mana mungkin setitis air boleh memadamkan api yang besar itu), dengan penuh yakin burung kecil itu menjawab:
“Allah tidak akan tanyakan aku apakah dengan usahaku api besar ini akan padam atau tidak, tetapi aku takut Allah akan tanyakan aku, apa yang telah aku buat untuk memadamkan api ini?”
Ah, mentari mulai tersenyum. Kokok ayam mula reda. Hari sudah semakin cerah. Izinkan saya bergerak… doakan saya wahai sahabat-sahabat. Semoga kerja “kecil” ini saya laksanakan dengan jiwa yang besar. Untuk mu saya tinggalkan satu renungan : MUHASABAH DI PORT DICKSON: APAKAH POLITIK KITA JADI IBADAH?
Marilah sama kita bermuhasabah, sejauh mana urusan dan kerja politik kita jadi ibadah dengan melihat syarat-syarat di bawah:
1. Mulakan dengan niat yang baik.
Sebelum kita menceburi bidang politik, cuba tanyakan hati apakah niat kita menceburi bidang ini? Pastikan pada awal-awal lagi, niat kita ialah niat yang baik. Apakah niat yang baik? Banyak niat yang baik, umpamanya… ingin membela nasib bangsa, memertabatkan negara, membantu masyarakat dan lain-lain. Ini adalah niat yang baik. Namun, perlu diingat ada niat yang ‘lebih baik’ berbanding niat-niat tersebut. Sebagai seorang Islam kita sewajarnya membuat sesuatu dengan niat ‘kerana Allah’.
Ini kerana Islam mengajar kita bahawa setiap urusan yang melibatkan hubungan sesama manusia, Tuhan mestilah dijadikan sebagai pengikat dalam perhubungan itu. Oleh itu, adalah lebih baik jika ‘mengikat’ niat membela rakyat, bangsa dan negara itu atas dasar ‘kerana Allah’. Katakan kepada diri , “aku ingin membela bangsaku, masyarakatku dan negaraku kerana Allah memerintahkan aku untuk berbuat demikian.” Dengan cara ini tugas politik kita akan terikat dengan misi utama Tuhan jadikan manusia yakni untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”
Niat ‘kerana Allah’ itulah nanti yang akan menjadi pengawal, pemantau dan pendorong untuk kita berlaku benar, telus dan tulus dalam kancah politik yang sering digambarkan sebagai ‘kotor’ itu. Sebaliknya, niat semata-mata ingin membela bangsa, negara dan lain-lain tidak cukup kukuh untuk menjamin kita tidak tergoda dan tergelincir dalam dunia politik yang tentunya penuh dengan cabaran dan godaan samada dalam bentuk nikmat atau kesusahan. Betapa ramai ‘pejuang’ bangsa yang terkorban dek harta? Betapa ramai pula ‘pembela’ masyarakat yang lupa daratan bila disanjung?
Namun, jika kita berbuat dan berjuang atas dasar yang kukuh yakni ‘kerana Allah’, maka Tuhan akan sentiasa berada di hati kita untuk menjamin kita sentiasa berada di atas landasan yang benar pada setiap masa dan suasana. Ingatlah, natijah (pengakhiran) dari sesuatu selalunya ditentukan oleh muqaddimahnya (permulaan). Oleh itu, semuanya bermula dengan niat, jika niat baik, maka besar kemungkinan pengakirannya pun turut baik. Tetapi sekiranya, niat awal hanya untuk mendapat ganjaran, sanjungan dan nama, maka batalkan sahaja hasrat kita menceburi politik. Kita tidak akan menjadi ahli politik yang baik jika bertitik-tolakkan niat yang tidak baik.
2. Bidang yang diceburi (politik) adalah satu yang dibenar oleh syariat.
Politik atau siasah memanglah suatu bidang yang bukan sahaja dihalalkan bahkan diutamakan dalam Islam. Istilah politic bermakna, ‘the arts and sciene of government’. Atau ‘siasah’ dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar yang bermakna, ‘to lead, to guide, to conduct, to direct’. Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia adalah satu bidang yang sangat berkait rapat dengan peranan manusia di atas muka bumi yakni seebagai khalifah Allah. Firman Allah:
“Kami jadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.”
Dalam konteks ini politik dilihat seabagi satu urusan kepimpinan yang hakikatnya adalah amanah Allah kepada setiap manusia. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, setiap kita adalah gembala (pemimpin) dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Urusan ini sangat penting dalam ajaran Islam justeru ia adalah satu alat ataupun jalan untuk menegakkan ubudiyah kepada Allah swt. Oleh itu, ahli-ahli politik seharusnya sedar bahawa bidang yang mereka ceburi adalah satu gelanggang yang begitu besar dan luas untuk meraih keredaan Allah.
3. Melaksanakan amalan berpolitik itu dengan betul.
Niat yang baik semata-mata tidak akan menjamin kita menjadi seorang ahli politik yang baik. Langkah seterusnya ialah laksanakan niat itu dengan betul. Melaksanakan dengan ‘betul’ di sini bermaksud mematuhi syariat (peraturan Allah). Maksudnya, kita mesti sentiasa memilih cara yang halal dalam melaksanakan urusan politik. Islam tidak mengamalkan dasar politik Machevelli – matlamat menghalalkan cara. Tegasnya, niat yang baik mestilah dilaksanakan dengan cara yang baik. Oleh itu, jangan sekali-kali kita terlibat dengan perkara-perkara yang haram, mungkar dan dosa dalam melaksanakan cita-cita politik.
Pelaksanaan politik itu hendaklah sentiasa mengikut batas-batas syariat dan peraturan-peraturan lain yang selaras dengan kehendak Allah. Proses berpolitik hendaklah sentiasa berpandukan batas-batas hukum yang lima – halal, haram, harus, sunat dan makruh. Kepatuhan kepada hukum Allah ini secara otomatik akan menyebabkan peraturan parti dan negara turut dipatuhi. Politik wang misalnya, bukan sahaja bertentangan dengan peraturan dan etika parti tetapi ia adalah haram di sisi Allah.
Begitu juga perbuatan mencaci, menghina dan memfitnah musuh politik tidak wajar dilakukan walau atas apa alasan sekalipun. Yang penting ialah memberi penerangan dan penjelasan tentang matlamat atau apa yang hendak kita perjuangkan. Boleh mengkritik, menegur malah menyalahkan pihak lain tetapi hendaklah dalam batas-batas syariat dan akhlak Islamiah. Baik sesama rakan separti separti atau dengan parti lawan, kita seharusnya menjaga diri agar tidak dirasuk oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain-lain. Untuk mendapat kedudukan atau pangkat tidak salah, tetapi dapatkanlah dengan cara bekerja keras bukan dengan cara mengampu, menyogok atau mengancam. Ingat selalu, pangkat bukan matlamat tetapi hanya alat dalam sesuatu perjuangan.
4. Berpolitiklah secara yang paling optimum (terbaik).
Tidak cukup sekadar itu, kita mestilah mempunyai ‘skill’ dalam bidang perhubungan manusia. Kebolehan menjadi pendengar yang baik, empati dan peka dengan apa yang disuarakan atau apa yang tidak disuarakan. Ini adalah suatu yang wajib untuk melonjakkan karier politik kita. Kita mesti mahir dalam pengurusan masa dan mempunyai kecekapan dalam mengatur serta membahagikan waktu dengan cekap dan berkesan. Urusan diri, keluarga, masyarakat, parti mestilah disusun secara adil agar setiap tindakan diatur mengikut tahap keutamaannya. Jangan ada perkara yang penting tercicir atau terpinggir.
Bergepanglah kepada etika kerja politik anda. Sentiasalah mengutamakan rakyat dan perjuangan bangsa berbanding dengan kepentingan diri. Cuba lihat sejarah ‘ahli-ahli’ politik yang berjaya khususnya para khulafa ur Rasyidin (Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali R.A.) mereka semua telah berpegang kepada etika ini sampai ke akhir hayat. Jika ditakdirkan menjadi wakil rakyat, duduklah bersama rakyat, dengar suara hati mereka. Jangan jadi wakil rakyat yang jarang ‘bersama’ rakyat. Sabar, berkorban, prihatin, empati, pemaaf, pemurah adalah sifat-sifat yang perlu ada jika anda ingin menjadi ahli politik yang baik.
5. Tidak meninggalkan perkara-perkara yang asas dalam Islam.
Perkara yang asas dalam Islam ialah rukun Iman yang enam dan rukun Islam yang lima. Ini adalah pra-syarat kepada semua perlakuan umat Islam untuk dinilai sebagai ibadah. Sekiranya perkara-perkara asas ini diabaikan, semua kebaikan yang kita bina sebelumnya tidak akan dinilai sebagai kebaikan. Bayangkan, bagaimana kita boleh dianggap seorang manusia yang baik jika kita mengabaikan ibu kandung sendiri walaupun kita takdirnya telah berbakti kepada seluruh manusia? Maka begitulah orang yang tidak mendirikan perkara-perkara asas dalam Islam ini, maka ia tetap ‘jahat’ walaupun segunung kebaikannya kepada manusia.
Solat misalnya, tidak boleh diabaikan walaupun sesibok mana urusan politik kita. Jangan bermesyuarat menyebabkan anda luput waktu solat. Jika kita sudah cukup harta, maka laksanakanlah ibadah haji tanpa melengah-lengahkannya dengan alasan kononnya sibok berbakti kepada masyarakat. Hendaklah kita ingat, ibadah-ibadah asas inilah yang akan memberi kekuatan jiwa, kelapangan fikiran dan ketenangan emosi untuk kita menjalankan urusan politik dengan lebih afektif, produktif dan kreatif lagi. Ingatlah, barangsiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungannya dengan manusia.
6. Natijah yang baik.
Bagaimana sikap kita di hujung kejayaan atau kegagalan di hujung karier politik? Jika ditakdirkan kita berjaya, maka bersyukurlah dengan kejayaan itu. Bukti syukur ialah dengan kita merasakan nikmat kejayaan itu datangnya dari Allah bukan kerana kebijaksanaan kita. Nafikanlah segala kelebihan, usaha dan tenaga kita di hadapan Tuhan dengan merasakan semua itu tidak memberi kesan tanpa bantuan daripada-Nya.
Kemudian, rasa syukur di dalam hati itu dilanjutkan lagi dengan melahirkan tindakan-tindakan yang selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu. Diberi pangkat, itu tandanya Tuhan ‘menyuruh’ kita berbakti kepada manusia dengan pangkat tersebut. Maka berbaktilah, bukan menyombong diri. Janganlah hendaknya syukur terbatas hanya di lidah, tetapi kosong di hati dan sifar pula dalam tindakan.
Sebaliknya, jika gagal, bersabarlah… hakikatnya Allah mahu mematangkan karier politik kita. Bukankah besi sejati ditempa oleh kepanasan yang tinggi? Jadi, jangan putus asa. Tempohlah sekali lagi, soalnya bukan serendah mana kita jatuh tetapi setinggi mana kita melonjak semula. Hakikat ini bukan sahaja satu sunnahtullah dalam kehidupan, bahkan inilah juga asam garam dalam dunia politik. Pastikan kita tidak kecewa atau patah hati. Bangunlah setiap kali kita jatuh!
Keenam-enam langkah itu akan mudah diikuti sekiranya iman diperteguhkan. Seseorang akan memilih himpunan tindakan yang selaras dengan keimanannya dan menolak sesuatu yang bertentangan. Inilah yang membentuk sistem nilai. Sistem nilai ini akan membentuk sikap ahli politik yang Islamik bukan sahaja di sudut cakapnya tetapi juga sikapnya. Indahnya, program ‘ke dalam’ ini jika berjaya dilaksanakan pasti menyerlahkan kesannya pada diri, masyarakat dan pengundi. Penghayatan berpolitik sebagai satu ibadah, akan memperteguhkan kekuatan dan perpaduan dalam parti tanpa perlu dilakon-lakonkan atau dilobi-lobi lagi.
Demikianlah sedikit gambaran bagaimana menjadikan politik sebagai satu ibadah. Langkah-langkah ini tidak terlalu memperincikan perkara-perkara yang boleh kita fikirkan sendiri. Garis-kasar yang diberikan oleh buku ini adalah terlalu umum untuk memperkatakan soal politik dalam huraian yang lebih ilmiah. Namun rasanya ia sudah memadai untuk meransang dan membuka fikiran untuk merealisasikan politik sebagai satu ibadah!
Salam Indah,
Firashatul Jannah